KEPULAUAN Natuna adalah gugusan kepulauan yang berselerakan di tengah-tengah Laut China Selatan yang memisahkan Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak. Ia terletak lebih kurang 450km di utara pulau Singapura. Pulau terbesar di dalam gugusan kepulauan Natuna adalah Pulau Serindit atau nama lainnya, Pulau Bunguran.
Nama antarabangsa yang diiktiraf bagi Pulau Bunguran ialah ‘Natuna’. Walaupun dikatakan terpencil, Kepulauan Natuna terletak di kawasan laluan utama perdagangan antara Asia Timur dan Asia Barat.
Berpusatkan kota Ranai sebagai ibu negerinya, Kepulauan Natuna terdiri daripada 272 buah pulau yang terletak di barat laut Pulau Borneo. Mungkin terdapat sebahagian daripada kita yang bertanya; Mengapakah Kepulauan Natuna yang terletak di tengah-tengah Malaysia, bukan milik Malaysia?
Penduduk
Sehingga tahun 2010, dianggarkan penduduk di Kabupaten (Regency)
Natuna adalah sebanyak 69,003 orang, yang terdiri daripada 35,741 orang
lelaki dan 33,262 perempuan. Lebih kurang 85% penduduk di sana 85.27%
adalah berketurunan Melayu dan selainnya adalah berketurunan Jawa,
Sumatera dan Cina. Bahasa pertuturan utama adalah Bahasa Melayu dielek
negeri Terengganu dan Islam adalah agama utama penduduk di Kabupaten
Natuna.
Sejarah
Sejarah Kepulauan Natuna tidak dapat dipisahkan daripada pengaruh
negeri-negeri di Tanah Melayu. Pemerintahan di Natuna dikatakan bermula
pada tahun 1597 yang didirikan hasil gabungan penghijrahan kaum
bangsawan Patani dan Johor. Pada sekitar kurun ke-16 iaitu selepas
kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka ke tangan Portugis, kerajaan Patani
dan Johor muncul sebagai kuasa baru di rantau Tanah Melayu.
Kuasa dan pengaruh kesultanan Patani dikatakan lebih tertumpu di
kawasan utara merangkumi negeri-negeri Terengganu, Kelantan, Menara
(Narathiwat) dan Jala (Yala) sebelum dijajah Siam pada kurun ke-18.
Manakala Kesultanan Johor pula menguasai kawasan selatan yang terdiri
daripada negeri Pahang, sebahagian pantai timur Sumatera dan kepulauan
Riau.
Susur galur pemerintahan Patani di Natuna bermula apabila salah
seorang puteri berketurunan pemerintah asal Natuna bernama Puteri Wan
Seri Bulan yang telah berkahwin dengan Datuk Bendahara Lingkai
al-Fathani, seorang kerabat diRaja Patani. Zuriat dari pasangan ini
telah menjadi Datuk Kaya yang memegang teraju pemerintahan Natuna.
Selain dari itu, antara pemerintah yang terkenal ialah Wan Muhammad
al-Fathani yang berketurunan Orang Kaya Aling.
Baginda, yang juga digelar Orang Kaya Perdana Mahkota telah berhubung
dengan pihak Inggeris pada tahun 1848 apabila Penguasa Tentera Inggeris
bagi negeri-negeri Selat di Tanah Melayu, Leftenan Kolonel Butterworth
menghadiahkan sebuah meriam tembaga atas jasa baginda memberikan bantuan
kepada sebuah kapal milik pihak Inggeris yang pecah di sekitar pulau
Natuna pada 25 Januari 1848.
Sorotan sejarah pemerintahan dan kependudukan awal bangsa Melayu di
Natuna ini jelas menunjukkan bahawa kepulauan tersebut mempunyai
hubungan yang lebih erat dengan dengan negeri-negeri di Tanah Melayu
berbanding dengan kerajaan-kerajaan dari kepulauan Indonesia ataupun
pihak penjajah Belanda yang berpusat di Batavia (Jakarta).
Pemerintahan Penjajah Barat di Sumatera
Kepulauan Melayu (Nusantara) adalah gugusan kepulauan yang terbesar
di dunia dan Pulau Natuna terletak di kawasan ini. Sejak zaman kerajaan
Srivijaya lagi, iaitu bermula dari kurun ke-7 Masihi, kerajaan-kerajaan
Melayu sangat aktif dalam bidang perdagangan dan kota-kota Melayu
menjadi pusat pelabuhan yang penting, seperti Palembang, Melaka,
Kotaraja (Aceh), Patani dan Brunei.
Namun, kegemilangan kerajaan-kerajaan Melayu dan kekayaan
sumber-sumber alam kepulauan Melayu ini telah mengundang minat penjajah
Barat untuk datang menguasai rantau ini.. Kerajaan Melaka adalah
kerajaan yang pertama jatuh ke tangan penguasa Portugis pada tahun 1511.
Melaka kemudiannya dikuasai oleh Belanda pada tahun 1641 sementara
Bengkulu, yang terletak di Pulau Sumatera, dikuasai Inggeris pada tahun
1685.
Perlumbaan dalam mengembangkan kuasa dan pengaruh British dan Belanda di
Kepulauan Melayu telah menimbulkan rasa tidak puas hati antara
kedua-dua kuasa penjajah tersebut.
Bagi menamatkan bibit-bibit konflik dan mengekalkan hubungan baik
British-Belanda, Perjanjian Inggeris-Belanda pada 17 Mac 1824
(Perjanjian 1824) telah dimetarai. Perjanjian ini telah membahagikan
‘Dunia Melayu’ di mana kedua kuasa tersebut secara sewenang-wenangnya
melakarkan ‘peta kekuasaan’ masing-masing.
Artikel 10 Perjanjian ini berbunyi ‘Kota Melaka diserahkan kepada
Raja Inggeris, manakala Raja Belanda dan rakyatnya tidak akan menubuhkan
sebarang penempatan di Singapura dan Semenanjung Melaka (Semenanjung
Melayu)’. Artikel 9 Perjanjian 1824 mengiktiraf pengaruh Belanda di
Pulau Sumatera dan pulau-pulau di selatan pulau Singapura.
Dengan termeterainya perjanjian ini, pihak British tidak akan membuka
penempatan di pulau-pulau di selatan Singapura dan Belanda juga tidak
akan membuka penempatan di Semenanjung Melayu. Perjanjian 1824 ini telah
menjarah sempadan di kepulauan Melayu dan kesannya kekal sehingga ke
hari ini.
Kesan Perjanjian 1824 ke Atas Kepulauan Natuna
Secara umum, boleh dikatakan bahawa Perjanjian 1824 tidak meletakkan
kepulauan Natuna dengan jelas sama ada di bawah pengaruh Inggeris atau
Belanda. Akan tetapi, Perjanjian 1824 ada mengatakan yang Belanda tidak
akan menubuhkan penempatan di utara pulau Singapura dan Semenanjung
Melayu yang diiktiraf sebagai wilayah British. Wilayah Belanda adalah di
pulau Sumatera dan pulau-pulau di selatan pulau Singapura. Dari sudut
geografi, Kepulauan Natuna bukanlah gugusan kepulauan yang terletak di
selatan pulau Singapura.
Kepulauan Natuna Sebagai Wilayah di Dalam Indonesia
Kepulauan Natuna telah dimasukkan sebagai salah sebuah wilayah di
dalam Republik Indonesia berdasarkan Surat Keputusan Delegasi Republik
Indonesia, Provinsi Sumatera Tengah bertarikh 18 Mei 1956. Kabupaten
Natuna kemudiannya telah ditubuhkan di dalam Provinsi Kepulauan Riau
berdasarkan Undang-undang No. 53 Tahun 1999 yang telah dikuatkuasakan
pada 12 Oktober 1999. Namun, jika dilihat pada peta Asia Tenggara, jelas
menunjukkan bahawa Kepuluan Natuna secara semulajadinya terletak
sejajar dengan lokasi negeri Terengganu, sekiranya garis lurus dilukis
dari pesisir negeri berkenaan ke arah timur. Sempadan Indonesia jelas
melengkung ke atas dan bukanlah dalam satu garisan yang lurus.
Kepulauan Natuna menjadi salah satu aset utama dalam menjadikan Indonesia sebagai sebuah negara kepulauan terbesar di dunia.
Dalam melukis garis kepulauan bagi membentuk perairan kepulauan, satu
garis melengkung telah dilukis dari Pulau Bintan ke arah utara
menyambung Kepulauan Anambas dan seterusnya Kepulauan Natuna sebelum
garis ini melengkung ke bawah untuk bersambung dengan provinsi
Kalimantan Barat.
Berdasarkan sumber sejarah, adalah munasabah untuk mengatakan
Kepulauan Natuna tidak banyak mempunyai perkaitan dengan negara
Indonesia. Kepulauan Natuna berbeza dengan tanah jajahan Belanda yang
lain di Indonesia seperti Pulau Sumatera, Pulau Jawa, Nusa Tenggara,
Makassar dan Papua.
Wilayah-wilayah ini yang menjadi milik Indonesia yang mewarisinya
daripada bekas penjajahnya, Belanda apabila Indonesia mencapai
kemerdekaan pada tahun 1945. Konsep yang wujud di dalam undang-undang
antarabangsa ini dipanggil utti possideti juris. Semasa Perjanjian 1824
dibuat, kepulauan Natuna masih lagi di bawah pengaruh kesultanan Melayu
menerusi pemerintahan Baginda Wan Muhammad al-Fathani. Juga, Perjanjian
1824 tidak secara jelas meletakkan kepulauan Natuna di bawah pengaruh
Belanda. Malah, sekiranya Perjanjian 1824 diteliti, Belanda tidak berhak
membuka penempatan di mana-mana kawasan di utara pulau Singapura yang
jelas berada di dalam kawasan pengaruh British.
Secara logiknya, memandangkan kepulauan Natuna masih berada di dalam
wilayah lingkup kerajaan Johor saat Perjanjian 1824 ditandantangani,
ianya patut berada di bawah pengaruh British, yang menjadi penaung bagi
kesultanan Johor pada ketika itu. Oleh itu, mungkin timbul hujah yang
mengatakan kepulauan Natuna sepatutnya berada bersama Malaysia apabila
kesultanan Johor merdeka di dalam Persekutuan Malaya pada tahun 1957
menerusi konsep utti possideti juris.
Tuntutan ke atas Pulau Natuna
Indonesia secara rasmi memasukkan kepulauan Natuna sebagai wilayahnya
pada tahun 1956, setahun sebelum Tanah Melayu (Malaysia) mencapai
kemerdekaan dan 6 tahun sebelum berlakunya Konfrontasi Malaysia dengan
Indonesia. Tanah Melayu pada ketika itu masih lagi diperintah British
dan belum lagi menjadi sebuah negara berdaulat bagi menuntut ketuanan ke
atas kepulauan Natuna.
Walaupun Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada
tahun 1957 dan menjadi Malaysia pada tahun 1963, Konfrontasi
Malaysia-Indonesia yang berlaku pada tahun 1962-1966 berkemungkinan
telah mengalih pandangan pemerintah Malaysia pada ketika itu yang lebih
menumpukan untuk menamatkan konflik dengan Indonesia.
Manakala Indonesia pula memerlukan kepulauan Natuna supaya garis
kepulauan dapat dilukis menghubungkan pulau-pulau di dalam Indonesia
bagi mencipta sebuah lingkungan laut kepulauan bagi memenuhi hasratnya
menjadi sebuah negara kepulauan (Archipelagic State) berdasarkan
undang-undang laut antarabangsa. Makanya, besar kemungkinan, atas dasar
ingin menamatkan konfrantasi dan berbaik-baik dengan jiran serumpun, isu
tuntutan kedaulatan ke atas kepulauan Natuna mungkin tidak menjadi
keutamaan pemerintah Malaysia pada ketika itu. Sehingga kini, Malaysia
mengiktiraf kedudukan kepulauan Natuna sebagai sebuah wilayah dalam
negara kepulauan republik Indonesia.
Di bawah konsep undang-undang antarabangsa, sesebuah wilayah itu
boleh diperolehi oleh sesebuah kerajaan atau kuasa pemerintah melalui
empat cara iaitu perluasan wilayah melalui cara semulajadi (accretion),
penyerahan wilayah (cession), penjajahan, dan effective occupation
ataupun prescription. Prescription merujuk kepada tindakan sebuah negara
yang mezahirkan kedaulatan dengan cara mengamalkan penguasaan ke atas
wilayah tertentu tanpa dibantah oleh negara-negara lain.
Berdasarkan fakta ini, boleh dikatakan bahawa Indonesia telah
menguasai Pulau Natuna selama 56 tahun tanpa bantahan dari Malaysia
sejak tahun 1956. Oleh yang demikian, adalah sukar untuk ketika ini bagi
Malaysia menuntut hak kedaulatan ke atas kepulauan Natuna walaupun
berdasarkan fakta geografi dan sejarah, kepulauan Natuna memang
mempunyai pertalian yang kuat dengan negeri-negeri di Semenanjung
Melayu.
Kesimpulan
Fakta-fakta sejarah jelas menunjukkan kepulauan Natuna mempunyai
perkaitan yang lebih jelas dan kukuh dengan negeri-negeri Tanah Melayu
berbanding kerajaan-kerajaan awal di kepulauan Indonesia. Akan tetapi,
tiada tuntutan konsisten pernah dilakukan oleh Malaysia dan kependudukan
Indonesia di kepulauan Natuna tidak pernah dibantah oleh Malaysia.
Kedaulatan Indonesia ke atasnya telah mencipta ruang lingkup wilayah
Indonesia yang membelah Malaysia kepada dua bahagian. Sehingga kini,
kepulauan Natuna kekal sebagai sebuah wilayah Indonesia walaupun yang
secara geografinya, kedudukan kepulauan tersebut lebih sejajar dengan
kedudukan Malaysia.
Artikel ini disumbangkan Oleh MOHD HAZMI MOHD RUSLI (Ph. D) pensyarah
kanan di Universiti Sains Islam Malaysia dan seorang Felo Bersekutu di
Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu. MOHD
AFANDI SALLEH (Ph.D) seorang pensyarah kanan Universiti Sultan Zainal
Abidin dan seorang Felo Bersekutu di Institut Oseanografi dan Sekitaran,
Universiti Malaysia Terengganu dan WAN IZATUL ASMA WAN TALAAT (Ph. D),
seorang profesor madya di Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti
Malaysia Terengganu. sumber